Hari ini ramai ibu bapa menjadi tenggelam punca untuk menundukkan anak-anak mereka agar mendengar arahan. Anak-anak suka berkeliaran tanpa kawalan dan sukar ditegah untuk melakukan apa sahaja sesuka hati walaupun sewaktu bertamu di rumah orang. Lebih sedih lagi ada ibu bapa yang tidak langsung berusaha mencegah anak-anak ‘mengusik’ dengan sesuka hati apa sahaja yang ada di rumah yang diziarahi. Anak-anak dibiarkan melompat-lompat di atas kerusi, memanjat meja, mengusik kereta dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya.
Sewaktu kita kecil dahulu, ibu bapa sangat menitikberatkan disiplin kita apabila ada tetamu bertandang. Pantang sekali bagi orang tua dahulu melihat anak menyibuk ketika mereka melayani tetamu. Hari ini banyak kes anak yang meramas buah dan makanan yang disajikan ibu bapa untuk tetamu sehingga tetamu jadi serba salah. Malang sekali kerana ia berlaku depan ibu bapa sendiri tanpa sebarang usaha mencegah dan mendisiplinkan mereka. Tetamu pun berbasa basi dengan kata-kata biarlahhhh… budak-budak tahu apa? Ermmmm…
Setiap hari kami didatangi oleh berbagai-bagai tetamu atas pelbagai urusan. Ramai juga yang bertanya apakah rahsia RPWP dapat menundukkan anak-anak jagaan tatkala terlihat mereka mula menunjukkan tabiat yang kurang elok itu. Hanya dengan satu jelingan, satu tanda ‘psttt… ‘ anak-anak sudah faham dan berhenti serta merta. Demikian yang diluahkan oleh para tetamu yang memerhati dengan matahati yang tajam.
Ingin kami kongsikan bahawa asnaf yang diserahkan kepada kami bukanlah yang asalnya baik-baik belaka. Di kalangan kami juga ada banyak belang dan parut dalam sejarah kekeluargaan yang berbagai rupa. Ramai suami isteri yang tidak sefaham, sering bertelagah dan bercakaran. Ramai anak-anak yang menunjukkan sifat-sifat yang buruk, degil, tidak berdisiplin, tidak menyahut panggilan, tidak datang bila dipanggil, pemalas dan sebagainya. Kami cuba berfikiran positif dan menjadikan segalanya satu asbab untuk saling mengkaji dan membuat pembaikan.
AJARLAH ANAK SEJAK HARI PERTAMA KELAHIRANNYA
Anak-anak dilahirkan ibarat kain putih. Kitalah yang mencorakkannya. Bagaimana kita harus menggunakan sepenuhnya sensitiviti deria pendengaran dan pengelihatan untuk mendidik anak sejak hari pertama kelahirannya.
Perhatikan Surah 16. An Nahl 78. “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu PENDENGARAN, PENGLIHATAN dan HATI, agar kamu bersyukur”.
Banyak kes anak yang tidak pekak dan bisu tetapi tidak pandai bercakap seolah-olah mereka bisu, hanya kerana dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapa yang pekak dan bisu. Banyak kes anak yang cukup sifat namun lebih teruk dari orang cacat, pemalas dan tiada kreativiti sama sekali. Ini kerana pendengaran dan pengelihatan mereka tidak didedahkan untuk bekerja, menjadi rajin dan kreatif walaupun ibu bapa mereka rajin. Apatahlagi jika ibu bapa sendiri memang jenis pemalas atau pengotor.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa proses pembelajaran dan pembentukan akhlak anak sudah bermula dari hari pertama kelahirannya. Tumpuan harus dilakukan khasnya dalam tahun pertama dan ke dua usia bayi itu. Inilah tahap awal yang kritikal di mana kita harus memperkenalkan diri kepada si bayi bahawa kita adalah pengatur mereka yang bertanggungjawab dan prihatin. Tunjukkan yang kita ingin mendidik mereka untuk menjadi anak yang bertanggungjawab dan peka.
Sewaktu bayi lahir, deria mata tidak berfungsi dengan baik lagi. Yang ada adalah deria rasa dan pendengaran. Bayi tidak boleh bertutur melainkan hanya berkomunikasi melalui bahasa tangisan dan gerak tubuh. Inilah tahap di mana kita harus meneliti dan menghalusi setiap respon yang ditunjukkan dalam bahasa tubuh dan tangisan bayi terhadap kita. Dengan itu kita mampu mengenali bayi kita dengan baik.
Al-Baqarah Ayat 146
الذين (orang-orang yang)
ءاتينهم (Kami telah berikan mereka)
الكتب (Al Kitab)
يعرفونه (mereka mengenalnya/arif)
كما (sebagaimana)
يعرفون (mereka mengenal/arif)
أبناءهم (anak-anak mereka)
وإن (dan sesungguhnya mereka)
فريقا (segolongan)
منهم (dari mereka)
ليكتمون (sungguh mereka menyembunyikan)
الحق (kebenaran)
وهم (dan mereka)
يعلمون (mereka mengetahui)
Al-An'am Ayat 20
الذين (orang-orang yang)
ءاتينهم (Kami berikan kepada mereka)
الكتب (Al-kitab)
يعرفونه (mereka mengenalnya/arif)
كما (sebagaimana)
يعرفون (mereka mengenalnya/arif)
أبناءهم (anak-anak mereka sendiri)
الذين (orang-orang yang)
خسروا (merugikan)
أنفسهم (diri mereka)
فهم (maka mereka)
لا (tidak)
يؤمنون (beriman)
Kata kunci yang ingin kami kongsikan dari ayat ayat di atas ialah AL-KITAB (yang merujuk kepada satu KETETAPAN) dan ARIF (sangat KENAL). Ingin kami mengajak pembaca memerhatikan juga mengapa kedua-dua ayat yang membawa mesej yang lebih kurang serupa ini diletakkan di SURAH HAIWAN, iaitu al-BAQARAH (sapi betina) dan al-AN’AM (binatang ternak).
Ringkasnya jika kita membela anak dengan tabiat haiwan, maka kita akan melupakan elimen pendidikan dan tarbiah sepanjang kita memelihara anak-anak kita. Kita hanya mementingkan makan minum dan menjadikan anak kita besar panjang sahaja. Namun pembangunan minda dan akhlak anak-anak kita akan terabai.
MENGENALI ANAK MELALUI TANGISAN DAN GERAK BADAN
Hasil kajian dan pengalaman kami terhadap subjek menunjukkan ramai ibu bapa yang kurang sensitif terhadap tangisan anak. Ramai yang sudah melahir dan membesarkan sehingga 8 orang anak masih tidak mampu mengenali bentuk tangisan anak sendiri. Kami rujuk pula perihal tangisan anak ini kepada fakta quran, sunnah dan sains
Inilah seni dalam memelihara anak yang tidak begitu ditekankan dengan penuh minat oleh para ibu bapa. Akhirnya kesemua anak-anak mereka membesar dalam pemeliharaan yang sebanding dengan haiwan ternak sahaja, atau mudahnya mereka tidak lebih dari menternak anak. Tiada unsur pendidikan yang diterapkan dengan teliti semasa memelihara anak itu.
Terlalu panjang jika ingin kami tuliskan jenis tangisan dan gerak tubuh anak di sini. InsyaAllah akan kami huraikan secara khusus pada siri parenting tips khas nanti. Cukuplah jika kami katakan ada banyak yang perlu diperhatikan terhadap bentuk tangisan dan gerak tubuh bayi ini ketika ia berumur 1-4 bulan, 4 bulan hingga setahun, 1-2 tahun dan seterusnya.
Antara contoh yang kita harus kenali ialah,
• Bagaimana bentuk, intonasi dan nada tangisan? Merengek? menjerit? selang seli? berterusan? Terkawal atau luar kawalan seperti sawan?
• Apakah iringan gerak tubuh waktu menangis? Menggeliat, menggaru kepala, menggosok mata, meronta-ronta?
• Apakah tanda lain atau perubahan pada tubuh mereka semasa bayi menangis? Contohnya kembung, kejang, badan jadi panas, mata jadi merah dan sebagainya.
• Anda juga harus tahu bila terakhir anak anda diberi susu atau makan? Bila terakhir anak anda buang air dan dibersihkan?
• Bila masanya anak anda tumbuh gigi?
• Adakah anda sendiri merasa panas dan rimas sehingga mungkin anak anda juga ikut merasa panas dan tidak selesa?
• Bagaimana mengenal tangisan mengada-ngada? Adakah air mata yang keluar semasa anak menangis?
• dan banyak lagi tanda-tanda.
KESILAPAN MERAWAT TANGISAN BAYI BOLEH MENJADIKAN ANAK DEGIL, LEMAH DAN DUNGU
Inilah yang menjadi penekanan dalam isu yang ingin kami ketengahkan. Hasil kajian kami menunjukkan ramai ibu bapa yang tidak kreatif dalam mengenal tangisan dan gerak tubuh bayi mereka, biarpun sudah ramai melahir dan membesarkan anak.
Sebelum anak mampu berkata-kata dan menggunakan komunikasi melalui kalam, ia belajar melalui alam. Tangisan dan jeritan anak adalah 'Universal Language', satu-satunya cara mereka menyampaikan mesej kepada ibu bapa. Secepat mana kita menyahut seruan atau doa mereka melalui tangisan itulah yang akan mendidik mereka untuk menyahut seruan dan panggilan kita secepat itu juga kemudian nanti. Itulah pendidikan awal yang sangat berbentuk alami bagi mereka. Tindakbalas kita sedang mengajar mereka tanpa kita sedar.
Kami menetapkan di RPWP jika boleh kita didik bayi kita dengan menyahut panggilan mereka melalui tangisan itu dengan kadar segera. Sebaiknya jangan sampai melebihi 10 saat. Rasakanlah kekesalan dan berdosa yang mendalam jika kita tidak dapat hadirkan diri untuk menenangkan anak yang diamanahkan kepada kita itu melebihi 30 saat setelah mendengar tangisannya.
Pada peringkat awal tangisan itu, anak masih dalam keadaan tenang dan sedar. Tangisan hanyalah merupakan bahasa mereka sahaja. Namun apabila anda gagal menghadirkan diri, maka intensiti tangisan itu akan bertambah. Akhirnya anda akan dapati anak anda akan seolah-olah marah kepada anda. Waktu ini minda anak akan jadi bercelaru, sangat beremosi dan penuh dendam. Inilah punca penyakit hati yang mula anda tanamkan ke jiwa mereka tanpa sedar.
Para saintis sepakat merumus bahawa habit membiarkan bayi menangis yang berpanjangan tanpa rawatan akan menyebabkan bayi mengalami berbagai bentuk tekanan (stress). Ini juga menjadi antara punca terhasilnya habitat anak yang dungu, degil, emosional, pemarah dan sebagainya.
Hormon stress yang dipanggil cortisol ini boleh terhasil dan terhimpun di otak bayi. Ia boleh merosak dan membantutkan pembangunan struktur penting otak mereka. Membiarkan anak terus menerus menangis juga akan merosak sistem saraf bayi. Ia boleh menjadikan mereka terlalu sensitif dan mudah mengalami trauma hanya dengan cabaran yang kecil. Ia juga memberi kesan yang besar kepada kemampuan anak untuk menerima maklumat pembelajaran dan berdarah gemuruh (nervous).
Kesan dari segi kesihatan pula akan menjadikan bayi ini anak yang mudah stress. Peningkatan tekanan darah dan nadi akan menyebabkan ketidak-stabilan bekalan oksigen, nutrisi, hormon dan antibodi dalam darah. Ini secara langsung menyebabkan anak menjadi kurang daya tahan dan mudah berpenyakit. Bahkan saintis telah menetapkan bahawa ia boleh memberikan kesan yang berat terhadap penyakit otak yang dipanggil ‘meningitis’. Mungkin ada kes terpencil yang tidak menepati ketetapan ini dan terserah samada kita mahu perjudikan nasib anak kita atau mahu mengikuti ketetapan dan petunjuk yang ada.
KESIMPULAN
Hasil kajian kami menunjukkan sesetengah ibu sengaja membiarkan anak mereka menangis begitu lama. Mungkin mereka sedang masak, membasuh, bergayut di talian atau bermuka buku. Mereka tidak sedar kesan dan bahaya yang terlalu parah dari segi kesihatan rohani dan jasmani yang bersifat kekal pada anak itu. SANG SUAMI yang sedar akan keadaan itu juga seperti tidak merasa bimbang dan tidak menegur isteri untuk berbuat sewajarnya terhadap anak mereka.
Nabi s.a.w. telah menyarankan, “belajarlah dari buaian sampai ke liang lahad”. Kelalaian kita menangani panggilan dan seruan bayi melalui tangisan mereka itu telah mengajar anak menjadi orang yang juga tidak bersegera apabila dipanggil, jadi bodoh, pemberontak dan degil. Sebaliknya, kita pula yang terpaksa mengikuti kehendak anak sebegini apabila ia besar nanti.
Demikianlah juga bagaimana Isa a.s. selaku nabi yang hebat telah dikisahkan mampu berbicara sejak dalam buaian lagi. Malangnya kita sebagai ibu bapa Islam ini tidak ada ilmu pengetahuan dalam mengenal bahasa universal anak itu lalu ianya berlalu menjadi satu pembaziran yang amat merugikan anak kita. Apa yang kita selalu rungutkan ialah tangisan itu memberi kesan negetif terhadap persekitaran, terhadap emosi jiran dan ibu bapa yang menjadi stress akibat tangisan anak. Kita tidak langsung fikir kesan negatif terhadap anak itu sendiri.
Ironinya, ibu yang jahil ini tidak mendapat pendidikan dan pembetulan yang penuh siyyasah dari para suami kerana mereka selaku abal hakam dalam keluarga juga jahil. Ramai suami yang membiarkan sahaja sang isteri berkelakuan yang ‘tidak wajar sebagai isteri’ tanpa teguran. Akhirnya isteri membentuk tabiat liar dan lagho. Isteri begini kemudiannya melakukan perkara yang sama terhadap anak, iaitu tidak sensitif dengan seruan bayinya. Isteri akhirnya terkontang-kanting mengendalikan segalanya dalam penuh kebingungan dan kesukaran. Maka terhasillah generasi anak-anak yang liar dan berkeliaran.
Kami ada terlalu banyak bukti. Anak-anak darjah 3-5 masih tidak kenal huruf, tidak pandai berbicara dan mengurus diri. Anak tingkatan 1- 4, yang baru kematian ayah setahun lalu tapi menjadi begitu dan begini. Sebenarnya semua itu sudah lama berlaku, semasa si ayah masih ada. Inilah hakikat anak yang yatim sebelum yatimnya. Oleh itu, mari kita pelihara anak kita dengan teliti, penuh minat dan kasih sayang seperti keluarga manusia. Jangan biarkan anak kita membesar sepertimana haiwan yang diternak untuk diherdik setelah kita tiada.
Kudap kudap
WARGA PRIHATIN
KREDIT FB WARGA PRIHATIN (PRIHATIN.NET.MY)
No comments:
Post a Comment